Boleh ke Kita Jual Insurans Konvensional ?

|

 Perancangan Kewangan, August 31st, 2010

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-89 yang bersidang pada 14 – 16 Disember 2009 telah membincangkan Hukum Mempromosikan Produk Insurans Konvensional Menurut Perspektif Syariah. Muzakarah berpandangan bahawa sistem takaful berlandaskan syariah sedang pesat berkembang dan memerlukan sokongan umat Islam dalam usaha untuk memartabatkan sistem muamalat Islam. Sehubungan itu, Muzakarah memutuskan bahawa orang Islam adalah dilarang mempromosikan produk insurans konvensional yang jelas berasaskan sistem riba. Walau bagaimanapun, pendapatan atau komisyen yang diterima dalam proses transisi dari sistem konvensional kepada takaful adalah dimaafkan.
Keterangan lanjut adalah seperti berikut:
Hukum terhadap insurans konvensional adalah jelas keharamannya mengikut kesepakatan para ulama’ kerana ia mempunyai elemen tidak patuh syariah iaitu riba, gharar dan maisir.
Keharaman muamalah riba tidak terhenti setakat amalan itu sahaja, bahkan Allah SWT telah mengisytiharkan perang kepada pemakan-pemakan harta riba. Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah mengemukakan pandangan bahawa bekerja di bank adalah dibenarkan selagi mana tidak berinteraksi secara terus dengan kontrak riba.
Para sarjana Islam semasa bersepakat mengatakan bahawa sebarang pekerjaan yang berurusan secara terus (direct) dengan kontrak riba adalah haram kerana termasuk dalam larangan Nabi SAW yang membawa kepada laknat. Ijtihad para sarjana Islam dalam menghukumkan keharaman pekerjaan yang bersangkutan dengan amalan riba contohnya di sektor ribawi adalah bertepatan dengan kaedah kulliyyah yang menyebut :
“Sesuatu yang haram menerimanya juga diharamkan memberinya.”
Dalam erti kata lain, kaedah ini membawa maksud apa sahaja perkara haram diambil atau mengambilnya, haram juga hukumnya memberikan kepada orang lain. Illahnya ialah ia akan membantu atau menolong kepada perbuatan yang diharamkan.
Dalam kes mempromosi produk-produk insurans konvensional, para ejen sememangnya bertugas untuk memasarkan produk-produk konvensional yang telah diputuskan haram secara sepakat. Maka dengan sebab itu, hadith Nabi SAW yang jelas melarang umat Islam daripada terlibat dengan urusan dan perniagaan ribawi iaitu yang bermaksud: ”Rasulullah SAW melaknat pemakan riba, pemberi wakilnya, pencatatnya dan dua saksinya. Nabi SAW bersabda: Semuanya sama-sama dilaknat” adalah terpakai dalam konteks ini. Walau bagaimanapun, bagi pekerja-pekerja yang tidak berurusan secara langsung dengan kontrak dan perniagaan riba, mengikut pandangan beberapa ulama’ seperti yang disebut di atas, pekerja-pekerja tersebut tidaklah dihukum mengikut hadith Nabi ini.
Terdapat juga pandangan yang mengatakan selagi mana seseorang Muslim itu bekerja di bawah “bumbung” institusi yang mengamalkan sistem riba, pekerjaan mereka adalah ditegah kerana menyokong sistem yang dicela oleh Allah itu.
Sistem insurans berlandaskan syariah sedang pesat berkembang pada masa ini dan umat Islam yang bekerja dalam sektor insurans konvensional berlandaskan sistem yang ditegah oleh Islam wajar memilih sistem yang berlandaskan syariah.
Islam mengharamkan umatnya dari melibatkan diri dalam apa jua muamalah yang melibatkan riba kerana riba akan membawa kemusnahan kepada hidup manusia. Oleh itu tindakan mempromosikan atau mengajak orang lain menerima sesuatu yang berteraskan riba adalah jelas dilarang oleh Islam.
Mereka yang bekerja dalam mempromosikan skim insurans konvensional berlandaskan riba perlulah berusaha dan bertekad bersungguh-sungguh untuk meninggalkannya dan dalam proses peralihan tersebut pendapatan yang diterima adalah halal dan dimaafkan oleh Islam.
--------------
Catatan:
Pakdi

|

Blog ini, sebagai satu lagi panduan kepada pewaris-pewaris dan pihak yang berkepentingan menguruskan harta pusaka peninggalan simati melibatkan pemilikan dan kepentingan di bawah Akta Tanah ( Kawasan Penempatan Berkelompok ) 1960.
Juga dimuatkan beberapa soal jawab yang telah disediakan untuk membantu pihak-pihak yang terbabit dalam mendapatkan gambaran serta penjelasan berkaitan permohonan pembahagian harta pusaka mereka.

Zakat Sucikan Jiwa & Harta

|

Sumber : Utusan Malaysia Online
Khamis, 14 Januari 2010
Oleh : Wan Jemizan Wan Deraman

ISLAM adalah merupakan agama yang syumul, merangkumi segala aspek yang berkaitan dengan kehidupan manusia sejagat. Umat Islam perlu menerima Islam secara keseluruhannya tanpa memilih-milih.
Salah satu dari komponen yang berada di bawah naungan Islam adalah persoalan harta. Islam secara asasnya tidak melarang umatnya dari mendapatkan harta sebanyak mungkin.
Namun, dua perkara yang perlu dititikberatkan berkaitan dengan harta adalah:

  1. Sumber pengambilan harta
  2. Pengurusan dan perbelanjaan harta
Rasulullah SAW menggambarkan betapa pentingnya umat Islam perlu menitikberatkan persoalan ini kerana ia bakal ditanya oleh Allah SWT di akhirat kelak.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
Tidak akan terlepas dua kaki anak Adam di akhirat di hadapan Allah SWT, kecuali setelah ditanya lima perkara:
Tentang umurnya di mana ia habiskannya, tentang kepemudaan dan kepemudiannya di mana digunakan, dan tentang hartanya dari mana datangnya dan ke mana dibelanjakannya, dan apakah yang dilakukan dengan ilmunya”.
(riwayat At-Tirmidzi)
Islam menganggap harta adalah merupakan pemberian oleh Allah SWT kepada manusia sebagai pinjaman. Justeru, tidak sepatutnya bagi umat Islam menguruskan hartanya sewenang-wenang sehingga membatasi prinsip dan kehendak syariah.
Antara perkara yang menjadi kewajipan kepada umat Islam dalam menguruskan hartanya adalah pembayaran zakat.

Zakat dan Kepentingannya

Perkataan zakat memberi maksud menyuburkan, membersihkan dan memperbaiki. Sebenarnya, melalui kefahaman terhadap maksud sebenar dari perkataan zakat ini sudah memberikan gambaran yang jelas tentang tujuan-tujuan di sebalik pensyariatan zakat ini.
Fungsi utama kepada pensyariatan zakat kepada umat Islam adalah bagi menyucikan dan membersihkan harta.
Ia dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud:
Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan. (at-Taubah: 103)
Proses pembersihan dan penyucian ini sebenarnya boleh berlaku terhadap dua unsur. Yang pertama, penyucian terhadap jiwa dan hati individu yang membayar zakat.
Zakat membersihkan jiwa seorang Muslim yang mengeluarkan zakat dari sifat bakhil, tamak dan sombong. Melalui pembayaran zakat, seorang Muslim dapat menyuburkan rasa kasihan belas terhadap mereka yang memerlukan.
Pada waktu yang sama, ia dapat menghakis sifat pentingkan diri sendiri sehingga mengenepikan kepentingan orang lain untuk menikmati pemberian Allah SWT.
Seseorang Muslim sepatutnya mengenali keluarganya, saudara-maranya atau jiran tetangganya supaya bantuan zakat dapat diberikan sekiranya mereka berada dalam kesempitan.
Allah SWT menyukai orang-orang yang tidak meminta-minta dan menyembunyikan keperitan yang dialami dari pengetahuan umum. Firman Allah SWT bermaksud:
Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang-orang yang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak meminta. (az-Zariyaat: 19)
Ini secara tidak langsung akan mengeratkan ukhuwah di kalangan umat Islam. Apabila individu Muslim membayar zakat, maka ia akan membantu kehidupan mereka yang memerlukan.
Sekiranya sistem zakat ini dapat berfungsi dengan baik, akhirnya ia akan merapatkan jurang di antara golongan kaya dan golongan miskin.
Harta yang dikurniakan oleh Allah SWT sebenarnya mempunyai peruntukan untuk golongan yang memerlukan supaya harta tersebut tidak hanya dapat dinikmati oleh golongan yang kaya sahaja.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
….. Supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya sahaja di kalangan kamu. (al-Hasyr: 7)
Golongan miskin apabila mendapat pertolongan dan bantuan ini akan berterima kasih kepada golongan yang kaya. Ini dapat mengikis sebarang perasaan negatif seperti iri hati dan dengki dalam hati golongan miskin. Sekali gus, ia boleh menurunkan graf jenayah seperti rompakan, kecurian dan ragut dalam masyarakat Islam hari ini.
Dalam Islam, sebahagian harta yang dimiliki oleh golongan kaya adalah hak orang-orang miskin. Dengan kata lain, apabila pembayaran zakat dilaksanakan, sebenarnya individu tersebut tidak menyumbangkan apa-apa kepada golongan miskin.
Sebaliknya, dia hanya menyerahkan kembali hak golongan miskin tersebut dari hartanya. Oleh itu, golongan kaya tidak perlu merasa megah atau bangga kerana memulangkan sesuatu yang memang sudah menjadi hak kepunyaan orang lain.
Sh. Muhammad Ashraf dalam bukunya Lessons in Islam telah menulis:
“Rasulullah SAW telah menggambarkan bahawa zakat sebagai wang yang diambil daripada orang kaya yang dikembalikan kepada orang miskin. Oleh itu, matlamatnya ialah untuk mengagihkan kekayaan masyarakat dengan cara yang membolehkan tidak ada umat Islam yang tinggal dalam kemiskinan (dan penderitaan)”.
(Doktrin Ekonomi Islam, Afzal-ul-Rahman, terjemahan Zaharah Salleh, jilid III, m/s 185).
Unsur kedua yang dibersihkan daripada pengaplikasian zakat adalah harta. Harta yang digunakan secara tidak sedar mungkin bercampur dengan perkara haram atau syubhat.
Sekiranya ia berlaku, maka harta yang dimiliki oleh individu tersebut akan hilang keberkatannya. Justeru, cara bagi menghakis perkara-perkara seumpama ini, individu Muslim perlu menunaikan zakat.
Apabila harta itu mempunyai keberkatan, ia akan dipelihara Allah SWT dan akan sentiasa disuburkan rezeki kepada pemberi zakat.
Pembayaran zakat adalah manifestasi ketaatan terhadap Allah SWT. Tidak dinafikan bahawa setiap individu menyayangi harta yang diusahakannya. Apabila seseorang itu membayar zakat, dia telah akur dan tunduk kepada arahan Allah SWT walaupun dia menyayangi harta tersebut.
Justeru, sebagai imbal balik kepada sumbangan yang telah diberikan, Allah SWT yang Maha Kaya melipatgandakan balasan kepada mereka yang membayar zakat pada jalan Allah SWT.
Firman Allah SWT:
Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya. (al-Baqarah: 261)

Pungutan dan Pembahagian Zakat

Allah SWT mentaklifkan kewajipan zakat hanya kepada harta yang telah memenuhi syarat-syaratnya. Harta yang berada di tangan pemilik hanya dikenakan zakat sekiranya mencapai usia satu tahun (haul) dan melebihi had pengecualian (nisab).
Zakat dikenakan kepada semua jenis harta mengikut kadar 2.5%. Ini bermakna, kewajipan zakat hanya dikenakan kepada mereka yang benar-benar berkemampuan dan ia tidak membebankan pembayar zakat tersebut.
Mereka yang berhak ke atas pembahagian zakat disebut sebagai asnaf zakat. Asnaf telah ditetapkan kepada lapan golongan sahaja. Namun, terdapat beberapa kriteria tertentu yang perlu dipenuhi untuk melayakkan mereka tergolong sebagai penerima zakat.
Perkara ini perlu untuk mengelakkan pembahagian zakat secara tidak adil atau berlakunya eksploitasi. Asnaf-asnaf zakat secara jelas dinyatakan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud:
Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang menguruskannya, dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang terputus bekalan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (at-Taubah: 60)

Kesimpulan

Umat Islam perlu melihat zakat sebagai satu instrumen penting untuk penyucian harta. Instrumen ini perlu ditambah nilai agar ia dapat berfungsi secara sistematik dan tersusun.
Kesannya, semua pihak akan dapat menggerakkan ekonomi masing-masing termasuklah golongan fakir dan miskin yang mendapat suntikan modal untuk menerus dan membangunkan kehidupan mereka.
Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui apa yang diperlukan oleh manusia sebagai makhluknya. Justeru, Allah SWT menurunkan syariat sebagai garis panduan yang perlu dipatuhi. Sekiranya syariat ini gagal diikuti, ia akan menyebabkan kehidupan individu dan masyarakat Islam tidak harmoni dan huru-hara.
Antara tujuan pensyariatan (maqasid syariah) adalah untuk menjaga harta (hifz mal). Antara hukum Allah SWT yang berkaitan dengan pemeliharaan dan penjagaan harta adalah kewajipan zakat.

Bahaya Lewat Urus Harta Pusaka

|

Source  :  Utusan Malaysia Selasa 5 Mei 2009
Oleh  :  Tarmiza Abdul Rahim
TANGGAPAN di kalangan masyarakat Melayu bahawa pengurusan harta pusaka hanya boleh diselesaikan melalui hukum faraid sahaja adalah antara penyebab utama berlakunya kelewatan pembahagian yang membawa kepada pertelingkahan sesama waris.
Kelewatan urusan pembahagian harta pusaka itu bukan sahaja akan mendorong berlakunya krisis dalam institusi kekeluargaan tetapi ia akan menyebabkan harta itu terutamanya hartanah akan menjadi statik dan tidak memberikan pulangan ekonomi yang sepatutnya.
Keadaan akan menjadi lebih serius lagi apabila pihak-pihak yang bertelagah mengambil jalan singkat dengan mengambil keputusan menjualkannya bagi membolehkan hasil jualan diagih-agihkan sesama mereka.
Apabila perkara ini berlaku, ia sebenarnya tidak akan menyelesaikan permasalahan utama malah ia akan membawa kepada masalah jangka masa panjang yang lebih serius, bila mana hak milik harta itu berpindah ke tangan pihak ketiga dan wujudnya salah faham sesama mereka yang tidak berpuas hati dengan ganjaran yang diperoleh.
Segala kemelut ini mampu ditangani dengan berkesan sekiranya masyarakat Melayu itu sendiri membuat perancangan awal dengan mengurus tadbir harta mereka secara teratur dan sistematik sebelum meninggal dunia.
Mengimbas kembali apa yang telah berakar umbi di kalangan masyarakat Melayu, secara asasnya terdapat tiga mekanisme utama yang diguna pakai apabila menyentuh soal pengagihan harta pusaka iaitu hukum faraid, hukum adat dan wasiat.
Hukum faraid – pembahagian harta mengikut syariat Islam berdasarkan kepada hierarki waris.
Hukum adat – amalan tradisi sejak berzaman lamanya yang ditentukan kepada konsep tolak ansur dan persefahaman antara waris.
Wasiat – yang paling jarang diamalkan dan ia berdasarkan kepada peraturan tertentu.
Perlu diakui walaupun pahit, isu pembahagian harta pusaka merupakan suatu perkara yang amat sensitif kerana lazimnya terdapat dua tabiat buruk di kalangan Melayu Islam iaitu tabiat membolot kesemua harta pusaka dan tidak menghiraukan urusan pewarisan harta pusaka itu sendiri.
Gejala buruk ini wajar dihentikan kerana ia langsung tidak mendatangkan faedah kepada para warisnya, walaupun sekelumit.
Lebih menakutkan lagi apabila pemilik asal harta yang sedang bersemadi akan terus terseksa selama mana urusan pembahagian yang sepatutnya selesai secara aman dan harmoni, tidak menemui penyelesaiannya sehingga bertahun-tahun dan warisnya pula asyik bergaduh sesama sendiri.
Masalah tersebut tidak akan timbul sekiranya masyarakat sedar kepentingan menulis surat wasiat tetapi hakikatnya ramai orang Islam menganggap bahawa mereka tidak memerlukan wasiat kerana kewujudan hukum faraid – tanggapan ini ternyata silap.
Kaedah penulisan wasiat juga sebenarnya mampu mengatasi semua permasalahan itu kerana ia mampu membezakan antara harta pusaka dan pemberian atau hibah. Ini kerana wasiat pengagihan harta ditentukan semasa pemilik masih lagi hidup.
Kelebihan menulis surat wasiat antara lain mampu mempercepatkan proses surat kuasa pusaka, mengelak persengketaan antara waris di samping dapat melantik wasi atau pentadbir yang diyakini bertanggungjawab, amanah dan berkesan.
Bagaimanapun, masih terdapat segelintir masyarakat Melayu yang beranggapan apabila harta-harta diagihkan terlebih dahulu sebelum mereka meninggal dunia akan menyebabkan kebarangkalian untuk anak-anak mengabai dan menyisihkan mereka.
Jadi, dalam usaha memastikan kedudukan mereka daripada terkena sindrom dihantar ke rumah orang tua oleh anak-anak yang tidak berperasaan dan tidak mengenang budi.
Mereka kebanyakannya akan memilih jalan penyelesaian popular iaitu menyerahkan bulat-bulat kepada waris masing-masing untuk menyelesaikan segala kemelut sesama sendiri apabila mereka meninggal dunia kelak.
Para ibu bapa perlu bertanggungjawab mengelak waris-warisnya daripada pergaduhan sesama sendiri.
Pada masa inilah, perlunya peranan Amanah Raya Berhad (ARB) sebagai badan bebas untuk mengendalikan dan menguruskan harta pusaka.
ARB, syarikat milik penuh kerajaan, dahulunya dikenali sebagai Jabatan Pemegang Amanah Raya dan Pegawai Pentadbir Pusaka Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1921 dan diperbadankan pada tahun 1995.
Selain menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan seperti pentadbiran harta pusaka, pentadbiran harta amanah dan pemegang amanah bagi tabung-tabung harta amanah, ARB juga menawarkan khidmat nasihat dan panduan mengenai pembahagian dan pengurusan harta.

Hukum Pewarisan Bagi Kes Kematian Serentak

|

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-83 yang bersidang pada 22 - 24 Oktober 2008 telah membincangkan Hukum Pewarisan Bagi Kes Kematian Serentak. Muzakarah telah memutuskan bahawa mana-mana ahli keluarga yang meninggal dunia secara serentak dalam kejadian yang sama atau sebaliknya dan tidak dapat ditentukan siapa yang mati terlebih dahulu bagi menentukan hak pewarisan, maka mereka tidak akan saling mewarisi antara satu sama lain kerana berdasarkan syarat-syarat pewarisan, waris (al-warith) hendaklah masih hidup semasa kematian orang yang mewariskan (al-muwarrith). Oleh itu, harta pusaka si mati akan dibahagikan kepada waris-waris yang hidup tanpa mengambilkira bahagian ahli keluarga yang mati bersamanya.
Bagi merekodkan waktu kematian, perakuan pakar perubatan hendaklah diterimapakai dan dicatatkan dalam Sijil Kematian.

Pewarisan Harta & Harta Sepencarian Yang Dilaksanakan Di Rancangan Felda

|

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-38 yang bersidang pada 21 Jun 1995 telah membincangkan Pewarisan Harta & Harta Sepencarian Yang Dilaksanakan Di Rancangan Felda. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
Amalan yang dilaksanakan dirancangan Felda mengenai pewarisan harta yang berdasarkan Akta Tanah 1960 adalah tidak bertentangan kerana persetujuan meletakan satu penama itu dibuat atas persepakatan semua pihak yang terlibat.
Sekiranya tidak mendapat persetujuan waris-waris untuk melantik seseorang daripada mereka sebagai wakil maka
  1. Harta simati hendaklah dijual.
     
  2. Penjualan harta tersebut hendaklah diberi keutamaan kepada waris.
     
  3. Hasil dari penjualan harta tersebut hendaklah dibahagikan kepada waris mengikut faraid.
     
  4. Kalau harta simati tidak habis dibahagikan maka lebihan pembahagian itu hendaklah diserahkan kepada Baitulmal.

Bersetuju bahawa amalan yang dilaksanakan dirancangan Felda mengenai harta sepencarian tidak bertentangan dengan hukum syarak.