Hearing Harta Pusaka Peneroka Felda

|

Ditulis oleh MUHAMAD ASHRAF BIN FAIZAL pada Rabu, Ogos 11, 2010 Rabu, 2010 Ogos 11 Minggu lalu, pada tarikh 6 Ogos, saya bertugas di Pejabat Tanah Kota Tinggi, Johor. Seperti biasa, kes yang dipanggil untuk pendengaran adalah sebanyak 10 fail. Di Kota Tinggi ini, majoriti kes pusaka datang dari penempatan Felda yang sememangnya banyak di daerah ini. Perbicaraan pada hari tersebut juga tak terkecuali di dalam senarai 10 fail itu adalah kes pusaka peneroka Felda.

Dalam perkongsian pada kali ini, saya suka untuk menulis suatu perkara yang mungkin masih menjadi kekeliruan di kalangan para waris-waris peneroka Felda berhubung kuasa-kuasa Pentadbir Tanah (Pusaka) dan Pengurus Felda dalam hal serta urusan pembahagian harta pusaka si peneroka itu.
Sebenarnya kes keluarga ini telah saya dengar buat pertama kalinya pada bulan April yang lalu. Namun atas sebab-sebab tertentu, saya tangguhkan pendengaran ke suatu tarikh yang lain. Sebabnya adalah, saya mendapati bahawa pempetisyen telah tidak menyenaraikan beberapa waris kadim yang juga mempunyai kepentingan di dalam harta pusaka simati. Apabila siasatan dijalankan, saya mendapati bahawa simati seumur hidupnya pernah berkahwin dengan seorang isteri yang lain sebelum mengahwini si pempetisyen. Walaubagaimanapun, isteri pertamanya itu telah meninggal dunia lebih awal daripada simati, dan sepanjang perkahwinannya dengan isteri pertama itu, ada seramai 3 orang anak yang dikurniakan. Selepas itu, barulah simati mengahwini si pempetisyen, dan dikurniakan 3 orang anak, yang mana anak bongsunya adalah seorang lelaki berusia 28 tahun mengikut perkiraan pada tahun ini.

Kemungkinan, sewaktu si mati ditawarkan untuk menjadi peneroka dan diberi tanah ladang dan rumah oleh pihak Felda, dia telah berkahwin dengan si pempitesyen.

Dalam kes ini, saya selaku kakitangan yang diberi kuasa dan amanah untuk menjalankan tugas di bawah Akta 98, saya tetap mengambilkira seksyen 12 (7) Akta tersebut adalah terpakai bagi menentukan undang-undang manakah yang terbaik untuk digunapakai bagi penurunan harta pusaka simati tersebut.

Dalam mana-mana penulisan di dalam blog ini, kalau tidak silap, saya sudah menerangkan apakah yang dimaksudkan oleh seksyen 12 (7) itu, namun jika pembaca sekelian kurang ingat akan isi kandungannya, bolehlah klik di sini.

Apabila saya menerangkan keadaan sedemikian kepada waris-waris yang hadir pada perbicaraan bulan April yang lalu, nampaknya ada yang tidak dapat menerima keadaan tersebut, sedangkan ia adalah suatu perundangan yang telah dikanunkan dan mesti dipatuhi. Alasan yang diberikan adalah, simati bukan mengusahakan tanah Felda itu sewaktu berumahtangga dengan isteri pertamanya.

Alasan ini saya tolak. Bahkan di dalam hukum Faraid sekalipun, tidak kira dari mana harta itu diperolehi, sama ada jika ia adalah sebidang tanah yang dipindahmilik daripada isteri kedua sekalipun, atau harta asalnya sendiri, jika berlaku kematian dan harta itu berdaftar di atas nama simati, ia tetap harta pusaka. Bermaksud, pembahagian harta pusaka hendaklah dilakukan dengan menyenaraikan waris-waris simati secara keseluruhannya. Hanya waris-waris simati sahaja yang berhak membuat penentuan bagaimana harta pusaka akan dibahagikan. (Dalam kes in, saya mengecualikan jika harta pusaka itu terlibat dengan jual-beli, hibah, hutang atau sebagainya yang menjadikan pembahagian harta pusaka akan mengambilkira hal lain-lain).

Di akhir perbicaraan pada bulan April lalu, saya mengarahkan kepada waris-waris yang hadir untuk membawa semua waris-waris kadim yang keciciran dalam perbicaraan seterusnya.

Kembali kepada cerita di hari perbicaraan 6 Ogos yang lalu. Dalam perbicaraan ini, hanya seorang sahaja dari kalangan 3 anak simati dengan isteri pertamanya hadir. Menurut persetujuannya, dia sendiri mengaku tidak akan menuntut harta tersebut, dan tiada apa-apa halangan jika harta dibahagikan sepenuhnya kepada si pempetisyen 1/1 bahagian. Namun, 2 orang lagi tidak dapat hadir, dan salinan kad pengenalannya sahaja dikemukakan.

Tiada pilihan, saya terpaksa menangguhkan lagi kes ini, kerana menurut seksyen 15 (1), saya hanya boleh mengeluarkan perintah pembahagian jika semua persetujuan daripada waris-waris telah dimasukkan. Dalam pendengaran kali ini, saya mengarahkan seorang daripada 3 orang waris simati yang lahir dari isteri pertama itu cuba mendapatkan persetujuan bersumpah dalam Borang DDA, dan mengembalikannya kepada pejabat secepat mungkin. Jika tiada diterima apa-apa makluman, dukacita dimaklumkan bahawa saya tidak dapat mengeluarkan sebarang perintah pembahagian melainkan suratkuasa mentadbir sahaja.

Berasa kecewa dengan keadaan ini, anak bongsu simati, dari isteri kedua mula bersuara dengan nada yang sedikit marah.

" Ini kan tanah Felda, kami dah dapat surat dari Felda supaya mak saya jadi pentadbir, kenapa melibatkan Pejabat Tanah?"

Saya tidak salahkan pemuda ini. Mungkin dia tidak tahu. Saya cuma menyatakan bahawa ini adalah undang-undang yang saya diberi tugas untuk melaksanakannya. Lantaran bertanya lagi pemuda itu.

" Undang-undang apa?"

Saya sebenarnya tidak suka bertegang di dalam perbicaraan. Saya tiada apa-apa kepentingan pun. Saya cuma menjalankan tugas. Sambil mengangkat buku Akta 98 terbitan ILBS yang berwarna kuning itu, saya menerangkan kepadanya, bahawa urusan pelupusan tanah kepada pemilik tanah, adalah di bawah KTN, dan bagi tanah-tanah Felda, Akta GSA digunapakai bersama. Tetapi bagi urusan pembahagian pusaka, Akta 98 digunapakai. Felda hanya sebuah agensi kerajaan yang ditugaskan untuk urusan-urusan selain dari itu seperti pengurusan ladang, peneroka dan sebagainya. Bukan bidangkuasa Felda untuk menentukan kepada siapa jatuhnya tanah ini setelah kematian simati. Bukan juga bidangkuasa Felda untuk memilih siapa pentadbir yang difikirkannya layak untuk tanah simati. Bahkan, dalam surat yang diterimanya daripada Pengurus Felda itu pun, yang dinyatakan adalah sokongan sahaja, jika yang ditulisnya itu arahan sekalipun, bukan bererti saya perlu menurutinya.

Berkata lagi si pemuda itu,

" Kalau mak saya jadi pentadbir saja, bukan boleh buat permohonan bantuan nak baiki rumah. Rumah tu pun dah nak roboh.."

Bukan masalah itu yang perlu dilajakkan terus. Soalnya kita mesti berbalik kepada asas, itu adalah harta simati, dan simati ada beberapa orang waris yang tidak hadir.

Maka, di akhir perbicaraan, bersuara si abang sulung kepada pemuda itu.

"Kau kena faham, kau kena profesional, ini akta, kena ikut. Abang sorang lagi tu ada tak senang dengan kau ke sebelum ni?"

Saya tiada lagi berniat untuk memanjangkan perbicaraan. Cuma mengingatkan kepada mereka, cubalah usaha yang terbaik.

Soalan-soalan Lazim

|

Apakah yang dimaksudkan dengan harta pusaka?
Harta pusaka adalah semua harta dan kepentingan seeorang yang telah meninggal dunia dan kematiannya telah dibuktikan.

Apakah yang dimaksudkan dengan harta pusaka kecil?
Harta pusaka kecil ialah harta yang terdiri daripada harta tak alih dan harta alih yang jumlah keseluruhan nilai semasanya tidak melebihi RM 2 juta dan si mati tidak meninggalkan wasiat di bawah Akta Wasiah 1959.

Apakah yang dimaksukan dengan harta tak alih?
Harta tak alih ialah tanah berimilik atau kepentingan di atasnya termasuk bangunan kekal, petak-petak rumah pangsa dan seumpamanya.

Bolehkah permohonan pembahaagian pusaka yang melibatkan harta alih sahaja ( tiada harta tak alih) di buat di Pejabat Tanah atau Unit Pembahagian Pusaka?
Tidak boleh, melainkan jika permohonan tersebut sebahagian daripadanya mengandungi harta tak alih ( tanah) atau kepentingan yang wujud dari mana-mana tanah seperti wang imbuhan pengambilan balik tanah,  Sekiranya simati hanya meninggalkan harta alih sahaja, permohonan hendaklah dibuat di Pejabat Amanah Raya Berhad.